Lama betul tak buat post dalam Bahasa Melayu ni. Kali ini saya nak ceritakan serba sedikit tentang belajar di luar negara. Saya masih lagi menuntut dalam tahun 1 di sebuah universiti di Hokkaido, Jepun. Pertama kali menjejakkan kaki ke sini ialah pada 25 Mac (Tokyo) dan 27 Mac (Hokkaido). Pelajar dan ex-student yang belajar di Jepun ni kesemuanya datang atas tiket Dasar Pandang ke Timur. Apa itu "Dasar Pandang ke Timur"?
"Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato`Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat".
rujukan: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=240:dasar-pandang-ke-timur&catid=88:dasar-dasar-negara
Terima kasih atas jasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, dasar ini masih lagi kekal hingga sekarang.
Bila sebut saja tentang belajar di Jepun, ada rakyat Malaysia yang akan merasa kagum. Bukan senang tu nak dapat peluang belajar Jepun. Antara perkara2 yang akan terlintas dalam kepala segelintir orang Malaysia tentang belajar di Jepun:
- Orang yang dapat belajar di Jepun ni pandai, maklumlah, teknologi Jepun hebat2 belaka,
- Senang dapat banyak duit (banyak peluang pekerjaan),
- Harga kereta murah (negara pengeksport kereta),
- Awek2 Jepun comel2, senang cari bini (bagi lelaki la),
- Balik Malaysia nanti, pekerjaan dah ready. Tak payah susah2 cari, duduk interview. Peluang datang bergolek,
Cabaran pertama bermula sebaik saja anda berjaya ditawarkan tempat untuk mengikuti kursus persediaan sebelum ke Jepun. Di Malaysia, terdapat 4 jalan yang utama untuk ke Jepun. 1, kursus persediaan bahasa Jepun dan teknikal di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya selama 2 tahun (kursus yang saya duduki). 2, kursus persediaan yang sama di Institut Bahasa Teikyo (dekat dengan Midvalley). 3, kursus persediaan PPKTJ (Pusat Persediaan Kajian Teknikal ke Jepun) di UTM selama 2 tahun dan 4, kursus JAD (Japanese Associate Degree) di bawah tajaan MARA di UNISEL . Antara jalan yang lain ialah melalui tajaan yang lain iaitu PETRONAS, persediaan di INTEC, Monbukagakusyo dan banyak lagi. Secara jujur, program persediaan di AAJ sangat2 ketat. Kelas bemula seawal 8 pagi sehingga 6 petang (5 petang pada Ramadhan). Isnin sehingga Jumaat. Sabtu kelas separuh hari, dari 8 pagi sehingga 1 tengahari. Silibus pelajaran pelajar2 di Jepun sama dengan apa yang diajar di AAJ. Dengan kata lain, silibus yang sepatutnya memakan masa 3 tahun, dicompress kepada 1 tahun 8 bulan untuk disumbat kedalam kepala pelajar2 AAJ. Menarikkan?
Cabaran seterusnya, peperiksaan. Pada zaman saya, (2007-2009), terdapat 2 peperiksaan utama yang bakal menentukan layak atau tidak kita untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. EJU, Examination for Japanese University wajib diambil oleh mana2 pelajar yang hendak belajar di Jepun. Bagi orang yang normal, saya berani kata ianya sangat2 susah. Selain dari tulisan kanji, masa yang diperuntukkan sangatlah sedikit. detail. Ujian terbesar ke-2 ialah Final Test (終了試験). Berdasarkan kedua-dua ujian diatas, kita dinilai samada lulus atau tidak. Tiada GPA. Keputusan peperiksaan bakal diketahui 3-4 minggu berikutnya. Ketika itulah kita tahu adakah usaha dan penat lelah selama 1 tahun 8 bulan membuahkan hasil atau tidak. Jika lulus, Alhamdulillah. Jika tidak, kita hanya memiliki kelayakan SPM sahaja, sedangkan rakan sebaya yang lain mungkin sudah pun memiliki diploma. Itulah hakikat hidup di AAJ.
Realiti sebenar yang berlaku kepada pelajar2 Malaysia yang belajar di luar negara saya akui agak mengecewakan. Golongan pelajar yang mengecewakan ini kebiasaannya yang pelajar tajaan JPA. Mengapa? Kebiasaannya pelajar tajaan JPA mendapat biasiswa yang sedikit tinggi berbanding tajaan pihak lain. Bila sudah tiba di Jepun, kebanyakannya lupa darat. Yang dulunya hidup susah, mata jadi rambang. Tak boleh pegang duit banyak sikit. Semua benda kalau boleh nak cuba. Boros berbelanja. Maklumlah, teknologi di Jepun memang hebat. Terutamanya barang2 elektronik. Mat2 gadjet di Malaysia tu kalau datang Jepun memang seronok. Syurga!!. Pelajar Malaysia tajaan JPA dianggap "mewah" di Jepun. Tak kisah pun kalau dianggap kaya sekalipun. Kalau mewah, tapi belajar tip-top, result bagus, rasanye takde siapa pun akan kisah. Memang layak pun. Kondisi di Jepun ni sangat2 lah sesuai untuk belajar. Udara bersih. Kadar jenayah rendah. Makanan fresh. Tapi kenapa pelajar2 tajaan yang dianggap masa depan negara, harapan jutaan rakyat Malaysia, intan payung mak ayah ni tak boleh perform dengan baik dalam study?
Ada juga segelintir pelajar yang sibuk "mengumpul harta". Kadar biasiswa terkini untuk seorang pelajar JPA di Jepun setiap bulan ialah kira-kira 132,250 yen (=RM5120.70). Lebih banyak atau setaraf dengan gaji seorang guru di Malaysia. Kadar sara hidup di Jepun memang diakui agak tinggi. Tetapi, biasiswa yang diberi memang cukup untuk pelajar hidup dengan agak selesa berbanding pelajar asing dari negara lain seperti China, Laos, Arab dll. Ada yang sibuk bekerja part-time untuk mencari duit lebih. Matlamatnya? Beli kereta mewah atau sport. Beli PC yang canggih dan up-to-date. Tidak salah jika bekerja part-time sekadar untuk mencari pengalaman, berlatih komunikasi dengan penduduk tempatan dan sebagainya. Apa yang menjadi masalahnya, ada pelajar yang sibuk bekerja sehingga terabai pelajaran. Ada yang ponteng kelas sehingga satu semester! Ada yang menjadi katak bawah tempurung, berkurung dalam bilik. Apabila disiasat, ketagih online game. Ya, Jepun memang syurga online game. Kelajuan dan kualiti internet disini 100 kali ganda berbanding Malaysia. Setakat download movie 8GB, sehari sudah cukup. Memang puas!
Tentang peluang pekerjaan, memang benar graduan Jepun mudah mendapat pekerjaan samada di Jepun atau Malaysia. Mudah mendapat peluang kerja di Jepun kerana pelajar Malaysia boleh speaking english dengan baik berbanding orang2 Jepun. (Agak) mudah mendapat kerja di Malaysia kerana terdapat lebih daripada 1000 kilang2 atau syarikat perusahaan milik negara Jepun di Malaysia. Jika tidak pun, graduan Jepun memiliki prestasi yang agak baik dari segi sikap, terutamanya menjaga masa.
Perubahan yang agak kerap terjadi keatas pelajar2 oversea ini antaranya transformasi fizikal. Tidak pelik jika pelajar yang dulunya berambut hitam, bertukar menjadi blonde atau perang. Yang dulunya di Malaysia elok bertudung, sampai di Jepun elok terlipat, tersusun rapi di dalam cupboard. Tak kurang juga transformasi dari sudut dalaman. Sampai di Jepun, sedihnya ada yang selamba meninggalkan solat fardhu. Solat Jumaat?............
Mengapa transformasi2 pelik ini boleh terjadi? Antara puncanya, pengaruh kawan dan pengaruh paling besar, pengaruh dari SENIOR. Senior dianggap orang paling penting bagi pelajar2 oversea. Dari seniorlah kita tahu makanan di kedai mana yang boleh di makan, subjek apa nak daftar dan macam2 lagi untuk hidup di bumi asing. Malangnya, tak semua perangai senior2 ni boleh dijadikan "pedoman". Namun, itu sudah lumrah. Tak semua manusia perfect. Kesimpulannya, diri sendirilah yang perlu bijak memilih yang mana intan, yang mana kaca.
Saya mempunyai seorang sahabat rapat, yang berjaya mendapat peluang belajar di Jepun dibawah tajaan Kementerian Tenaga Kerja Jepun. Alhamdulillah, dia telah pun selamat sampai pada 30 September yang lepas. Universiti yang bakal dituju terletak di Kanagawa, dekat dengan Tokyo. Di Universiti tersebut, ada beberapa orang senior yang tua setahun berbanding kawan saya. Antara perkara menarik yang berlaku keatas kawan saya dan 2 orang lagi kawannya ialah mereka diminta untuk membawa bersama produk2 tertentu dari Malaysia sebagai "ufti". Apakah barang2 itu? 2 karton rokok dan 1 bucket KFC, setiap seorang... Kenapa rokok? Rokok di Malaysia lebih "sedap" berbanding di Jepun. KFC pula kerana sudah tentu KFC di Jepun tidak boleh dimakan kerana tidak halal. Sahabat saya ini mengadu kepada saya tentang perkara ini. Bukankah menyusahkan orang lain? Mana nak letak 2 karton rokok dan bucket KFC dalam luggage yang dah sedia penuh tu? Sudahlah rokok perlu dibeli dengan duit sendiri..Itulah realitinya. Rokok Malaysia dan KFC memang dianggap "sumber terhad" yang amat bernilai di Jepun. 2 barang itu jugalah yang dianggap penting untuk menjalin hubungan yang baik dan "terjamin" dengan senior. Sahabat saya ini mengambil keputusan untuk tidak menurut permintaan seniornya. Akibatnya, baru-baru ini saya ada menghubunginya dan dia mengadu tentang sikap dingin yang diterimanya dari seniornya..Perkara yang sudah dijangka.
Antara persoalan yang kerap bermain di minda saya ialah, adakah graduan dari Jepun ini memiliki daya saing yang tinggi jika mahu dibandingkan dengan graduan dari negara2 terkemuka seperti amerika, united kingdom, France, German dan sebagainya? Secara jujur, saya merasakan tidak begitu setanding. Kerana apa? Dari segi teknologi, realitinya negara Jepun banyak mengambil contoh dan pemindahan teknologi dari negara German. Hubungan Jepun-Jerman bermula seawal zaman Edo (1600-1868) apabila duta wakil Belanda berbangsa Jerman datang ke Jepun di bawah naungan Dutch East India Company (VOC). Hubungan Jepun-Jerman melibatkan pemindahan teknologi dalam bidang perdagangan dan ketenteraan. Dengan kata lain, teknologi di Jerman lebih awal berkembang berbanding di Jepun. Persoalannya, bukankah lebih baik belajar terus di Jerman? Sebenarnya, tujuan negara mewujudkan Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy) ini adalah bertujuan untuk menerapkan nilai2 positif dan mentaliti masyarakat Jepun dalam modal insan masyarakat Malaysia. Pada masa tersebut, dunia tidak terkecuali Malaysia begitu memandang tinggi dunia barat. Kita terlupa, ada sebuah negara Asia yang dahulunya dikalahkan semasa perang dunia ke-2, berjaya bangkit semula dalam masa yang boleh dianggap singkat. Bagaimana masyarakat Jepun mampu bangkit semula, membina infrastruktur dan memulihkan semula ekonomi negara dalam masa singkat?Mentaliti dan hasil kerja keras.
Perlu diingat, Jepun mengalami sekatan ekonomi (embargo) terutamanya komoditi minyak dan bijih besi sebelum perang lagi. Dengan sumber yang terhad, mereka mampu melumpuhkan kekuatan armada Pasifik Amerika dalam masa 6 bulan, sebelum Amerika menyertai perang dunia ke-2. Bushido, (The Way of Samurai) adalah prinsip yang dipegang kuat oleh setiap tentera Jepun pada masa itu. Tumbangnya kuasa shogun pada Zaman Meiji menandakan berakhirnya era samurai sebagai golongan yang berkuasa pada masa itu. Walaupun samurai telah tiada pada zaman moden ini, prinsipnya masih lagi wujud. Buktinya, prinsip "tidak mudah mengaku kalah" dan "taat setia" menyaksikan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun dalam masa 14 hari sahaja.
Gugurnya "Little Boy" di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan "Fat Man" di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 menandakan tarikh surrender negara Jepun. Dengan kalahnya Empayar Jepun pada masa itu, menandakan bermulanya penjajahan Amerika keatas Jepun. Selepas tamat perang, Jepun langsung tidak dibenarkan untuk memiliki pasukan tentera sendiri. Tentera bersekutu ketika itu bimbang akan ancaman Jepun terhadap dunia sekali lagi (kononnya). Teknologi2 dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan turut disekat. Dari segi ketenteraan, Jepun berjaya menghasilkan pesawat pejuang A6M Zero (Zero fighter) pada April 1939 dan kapal perang terbesar, terberat dan paling banyak dilengkapi senjata, Yamato class battleship. Kedua-dua aset perang ini dianggap legend ketika perang dunia ke-2. Adat peperangan. Industri kejuruteraan di Jepun mula berkembang pada tahun 1960 melalui industri automotif. Maka tidak hairanlah Jepun kini merupakan antara pengeluar kereta terbanyak dunia. Cuma yang terkilannya, cuba bayangkan jika teknologi2 pada zaman perang itu tidak disekat. Mungkin Jepun sudah setaraf kedudukan teknologi dan kejuruteraannya dengan Amerika.
Berbalik pada tajuk cabaran belajar di Jepun. Masalah paling penting bagi sesiapa pun ialah mendapatkan bekalan makanan halal. Di Jepun, hampir kesemua pelajar Malaysia mendapatkan bekalan makanan halal terutamanya daging dan rempah ratus dari internet. Online store yang paling terkenal di kalangan pelajar Malaysia ialah baticrom. Mencari makanan halal dibumi yang sangat menggemari daging khinzir ini sebenarnya tidaklah sesusah mana. Industri perikanan merupakan industri yang utama di Jepun. Setiap hari kita boleh mendapatkan bekalan makanan yang fresh2 belaka. Cuma yang menjadi masalah adalah ingredients2 yang digunakan dalam produk makanan. Contohnya emulsifier (乳化剤) dan shortening (ショートニング) yang boleh ditemui dalam kebanyakan makanan di sini. Kedua bahan tersebut boleh dibuat dari bahan berasaskan tumbuhan atau haiwan. Umumnya, pelajar akan terbahagi kepada 3 golongan dalam soal memilih makanan. Golongan pertama, makan apa sahaja kecuali daging, termasuklah seasoning, sos, mayonis dan sebagainya. Mereka ini biasanya mendapat maklumat dari senior masing2 tentang makanan apa yang boleh dimakan, tanpa menyiasat terlebih dahulu tentang kesahihan fakta itu. Golongan kedua, memilih makanan mengikut ijtihad sendiri dan hukum dalam Islam. Golongan ketiga, hanya makan makanan berkonsepkan vegetarian kecuali ikan dsb.
Cukuplah kot panjang lebar posting ni. meleret-leret sampai terkeluar topik pun ada. Kesimpulannya, belajar di perantauan ini taklah seindah mana. Memang seronok dapat melihat tempat orang, belajar budaya baru, merasa makanan yang tak pernah jumpa, bermain ski dan salji dan sebagainya. Namun hanyalah peringatan kepada semua orang termasuklah saya juga, matlamat utama kita dihantar ke sini adalah belajar. Tidak salah untuk mencari hiburan. Cuma jangan sampai terlupa tanggungjawab masing2 dan terus hanyut.
Thanks, saudara Zambri, kerana membetulkan kesalahan saya.
ReplyDeleteItulah realiti pelajar Malaysia di seluruh jepun.nice entri. b(^_^)d.Pelajar malaysia yg ditaja ke oversea sebenarnya hanya diberi peluang yg lebih sikit dari pelajar di malaysia.bukan jaminan kejayaan.(klu dh betulkan, padam jela komen seblom ni pon x pa.hehe.)
ReplyDeletesalam.amik peluang selagi wujud peluang.selamat berjaya. :)
ReplyDeleteObservation yang bagus...
ReplyDelete